Walaupun filem aksi satira Cicak Man 3 yang sepatutnya menjalani penggambaran 15 Ogos lalu terpaksa ditunda tarikh penggambarannya ke Januari depan, pengarahnya, Yusry Abdul Halim tetap optimis.
Baginya, penundaan tarikh itu sebenarnya membawa rahmat kepada produksi kerana ia membuka ruang untuk pre-produksi dan pada masa sama ada juga pihak-pihak yang masuk sebagai penaja.
Katanya, ia langsung tidak menjejaskan produksi kerana banyak benda yang tidak boleh dibuat sebelum ini kerana Cicak Man 3, boleh dilakukan sekarang. Sebagai contoh, jamuan hari raya yang sepatutnya dilakukan di rumah Yusry kerana gilirannya menjadi hos selepas tahun lalu di rumah Norman tetapi tidak dapat dilakukan kerana Cicak Man 3.
“Apabila ditunda, saya boleh buat banyak benda lain termasuklah beberapa acara lain yang ditunda sebelum ini. Bagaimanapun, saya tidak menolak antara punca penggambaran filem sekuel ketiga itu terpaksa ditunda kerana jadual artis yang padat dan penambahbaikan dari aspek teknikal.
“Pun begitu, saya sedar ramai menyalahkan Zizan Razak sebagai punca penggambaran filem ini ditunda tetapi saya tidak meletakkan 100 peratus kesalahan kepadanya,” kata Yusry ketika ditemui pada rumah terbuka KRU Studio di Cyberjaya, Isnin lalu.
Kata Yusry, apabila jadual dibuat ada waktu di mana pelakon itu boleh memberi komitmen tetapi tatkala dilihat pada jadual penggambaran keseluruhan, Zizan sendiri tiada ruang bernafas dek komitmen lain.
“Andai kata cuaca tidak mengizinkan atau timbul masalah di lokasi penggambaran sehingga penggambaran ditunda ke hari lain, ia menjadi masalah kepada Zizan kerana jadualnya yang sangat ketat.
“Buat filem ini ada jadualnya sendiri. Ada kala perlu bawa ke hari lain tetapi hari lain sudah diisi dengan komitmen lain. Masalah itu bukan pada Zizan sahaja tetapi turut berlaku kepada pelakon lain seperti Lisa Surihani dan Fizz Fairuz,” katanya.
Katanya, dia tidak mahu mengambil risiko hingga boleh mengganggu fokus penggambaran Cicak Man 3 yang dijangka mengambil masa 45 hari. Jalan terbaik dengan mengambil keputusan untuk menundanya ke tahun depan.
Itupun selepas Yusry berbincang dengan semua artis mengenai jadual seni mereka dan bersetuju untuk mengisi jadual seni mereka pada Januari depan untuk Cicak Man 3 sahaja.
“Penjadualan dilakukan sudah lama tetapi ia bersifat 'on-going' serta ada penambah baikan tersendiri. Zizan ada komitmen sendiri, Fizz juga ada komitmen lain, menjadikan jadual tersangat padat. Ia bukan masalah seorang sahaja.
“Dalam tempoh itu juga, tiada perubahan dari segi skrip atau aspek penceritaan berubah, cuma kami ada lebih masa untuk pertambahan kapital kepada kos produksi filem ini,” katanya.
Dalam pada itu, Yusry kini berdebar menantikan tayangan filem Vikingdom yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 12 September ini manakala untuk pasaran antarabangsa diserahkan kepada Universal Pictures. Ia dijangka akan ditayangkan di United Kingdom, Australia dan New Zealand.
Pada acara rumah terbuka itu, KRU Studio yang diterajui tiga beradik, Norman, Yusry dan Edry, meraikan rakan media, penaja dan pelajar dari Akademi KRU. Ia dimeriahkan dengan kehadiran artis seperti Rafidah Ibrahim dan Marsha Milan Londoh yang juga pengacara Propaganza terbitan KRU Studio. Barisan artis KRU Music seperti kumpulan Forteen, Jaclyn Victor dan kumpulan Mojo membuat persembahan menghiburkan tetamu pada acara yang bermula jam 3 petang itu.
HM
No comments:
Post a Comment