Follow Pena Hiburan

Fizo Omar: Mawar Sukar Didekati


STATUS sebagai selebriti bukan platform mudah bagi pelakon Fizo Omar untuk mencairkan hati anak kepada pemilik tudung Fareeda iaitu Mawar Abdul Karim.

Akui Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 28, Mawar seorang yang sangat komited pada kerja dan dia juga tidak seperti kebanyakan wanita yang senang didekati.

"Susah sebenarnya hendak dekat dengan dia (Mawar). Walaupun status saya sebagai artis. Dia sangat tegas dan komited pada kerjanya," ungkapnya tatkala disoal bagaimana hubungan mereka terjalin.
Bicara Fizo lanjut, pada dasarnya mereka berjumpa atas dasar kerja tanpa melibatkan perasaan, namun akhirnya hati lelaki Fizo mulai terpaut pada Mawar selepas melihat kesungguhan dan kebijaksanaan wanita itu menguruskan perniagaan ibunya.

Fizo juga mengakui, dia yang memulakan langkah pertama mendapatkan nombor telefon Mawar dan menghubungi wanita itu.

"Saya kagum melihat dia menguruskan perniagaan ibunya. Dia bukan jual mahal masa mula-mula saya ingin mendekatinya tetapi dia terlalu komited terhadap kerjanya," ujar Fizo ketika ditemui pada majlis memperkenalkan 80 koleksi eksklusif tudung Fareeda pelbagai warna, corak dan kerongsang di ibu pejabat Fareeda di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: 

Bersedia mental & fizikal

Selepas mengenali Mawar pada tahun lalu dan mendapat restu daripada ibunya, Hasnah Jidin, dia tidak menunggu lama dan terus merisik wanita itu pada 28 Ogos lalu.

Pada usianya yang sudah mencecah 28 tahun Fizo juga mendedahkan, dia sudah mencapai sasarannya dalam membuka perniagaan dan juga melaksanakan tanggungjawabnya kepada keluarga.
Dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melangkah ke fasa seterusnya iaitu perkahwinan.

"Sasaran saya sudah tercapai pada usia 28 tahun. Kini, saya bersedia pula dari segi mental dan fizikal mencari calon yang sesuai untuk dijadikan isteri. Pada masa yang sama, saya berjumpa dengan Mawar. Saya terpikat padanya," luah Fizo yang bakal mengikat tali pertunangan dengan Mawar pada Oktober depan.

Tidak mahu bertunang lama dan merancang untuk berkahwin pada penghujung tahun ini, ujar Fizo, kalau ikutkan, dia tidak mahu bertunang dan terus melangsungkan perkahwinan.
Begitupun, dia sekadar mengikut adat dan syarat untuk mengikat tali pertunangan biarpun hanya sekejap.

Terbit drama
Berkongsi mengenai perniagaan Hot Burger miliknya, kata Fizo, setakat ini dia mempunyai hampir 30 cawangan Hot Burger di sekitar Lembah Klang dan merancang untuk menambah 20 cawangan di Kelantan dan juga 30 cawangan di Johor Bahru.

Disoal sama ada dia bakal meninggalkan dunia lakonan kerana sibuk menguruskan perniagaan, akui Fizo, dia masih lagi berlakon, cuma mengurangkan aktiviti lakonannya demi memberi tumpuan pada perniagaan dan penerbitan drama yang baru diceburinya.

"Saya tidak akan tinggalkan bidang lakonan tetapi terpaksa memilih tawaran dan watak yang datang. Bukan apa, penghujung tahun ini buat pertama kalinya saya akan menerbit sebuah drama bersiri untuk RTM. Sebelum ini, saya pernah menerbitkan video korporat untuk kerajaan," jelasnya.

Mengulas lanjut, kata Fizo, dia juga masih menjadi pengacara untuk program Nasi Lemak Kopi O di TV9 dan juga memberi taklimat kepada pelajar-pelajar sekolah dan universiti.
Ibu punca Mawar terima Fizo

PERTEMUAN dengan anak pemilik tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim, 24, dan bakal tunangnya Fizo di majlis memperkenalkan 80 koleksi eksklusif tudung Fareeda di ibu pejabat Fareeda di Bangi, Selangor membuatkan Kosmo! ingin menyatukannya mereka untuk hiasan muka depan Hab-Hib.
Bagaimanapun, Mawar menolak secara baik gambarnya dan Fizo dirakam secara berdua.

Katanya, tidak manis gambarnya dirakam sebelum dia dan Fizo mempunyai ikatan yang sah.
Akur dengan permintaannya itu, Mawar diajukan soalan apakah kriteria Fizo yang membuatkan hatinya terpaut.

Ungkap Mawar, kesungguhan Fizo pada kerja dan juga restu keluarganya membuatkan hatinya dibuka untuk pelakon itu.

"Saya tidak memandangnya sebagai artis tetapi melihat pada cara dia berniaga. Dia bersungguh dalam kerjanya. Pada masa yang sama, ibu merestui hubungan kami," ujarnya yang malu-malu mengulas lebih lanjut mengenai hubungannya dengan Fizo.

Akui Mawar, secara jujur dia pada mulanya agak takut mendekati Fizo kerana statusnya sebagai selebriti tetapi ibunya, Faridah Zakaria melembutkan hatinya untuk menerima Fizo.

Jelas Mawar, ibu memintanya jangan terlalu garang dan tegas terhadap Fizo kerana dia berasakan lelaki itu bersungguh ingin mengenalinya lebih dekat.

“Saya tidak pernah ada hubungan yang serius sebelum ini. Mama yang banyak nasihat saya supaya tidak terlalu garang dan dia juga melembutkan hati saya untuk menerima Fizo,” dedah Mawar.

sumber: kosmo

No comments:

Post a Comment