Follow Pena Hiburan

Love You Mr. Arrogant Adalah Tempat Zara Zya Hapus Sifat Pemalu Sahaja?


Drama Love You Mr. Arrogant nyata telah mengubah perjalanan seni aktres bernama Zara Zya ini. Bukan sahaja dari segi populariti namun turut mengubah persepsinya terhadap bidang lakonan.

Masakan tidak dalam sekelip mata namanya meledak sejak membintangi drama arahan Eoon Suhaini itu yang telah ditayangkan sejak 25 September lalu.

Mungkin ramai beranggapan gadis berusia 28 tahun ini orang baru dalam industri namun sebenarnya dia pernah membintangi beberapa drama antaranya Tanah Merah, Puisi Cinta Rubiah, Supermak, Tiga Budak Botak, Selipar Jepun Suria dan 3 Janji.

Bagaimanapun dalam tempoh lebih lima tahun bergelar pelakon namanya kurang menyengat sehinggalah dia mendapat watak utama, Zaara Amirah, gadis yang terpaksa berkahwin demi menyelamatkan syarikat suaminya.

Dia sendiri tidak menyangka dengan populariti yang diraih namun tidak menafikan itu menjadi pembakar semangat untuknya terus berada dalam dunia lakonan.

Ini kerana kata Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, dulu dia tidak mempunyai keyakinan untuk beraksi depan kamera kerana sifat malu yang menebal.


“Malah saya rasa nama saya langsung tidak dikenali kerana mutu lakonan yang teruk. Ketika itu saya sendiri cukup kecewa dengan pencapaian saya," kata lulusan bidang teater dari Akademi Seni Warisan Negara (ASWARA) ini.

Akibat kekecewaan itu, Zara Zya yang cuba berjinak-jinak dengan lakonan selepas menamatkan pengajian ‘bersara’ seketika daripada dunia seni.

“Bertahun juga saya tidak berlakon dan hanya membantu menguruskan perniagaan keluarga," katanya yang akan menjalani penggambaran drama terbaharu, Tiga Hati Ibu tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment