“Sampai hati ustaz!”. Itu luahan seorang pelajar sebuah sekolah
tahfiz yang terpaksa menjalani pembedahan di paha kiri dan terlantar di
hospital sejak 10 hari lalu akibat dirotan guru agamanya.
Muhamad Faiz Mohd Sharol, 14, yang belajar di sebuah sekolah tahfiz
swasta di Jengka, Pahang, berkata, dia dirotan 15 kali oleh seorang
ustaz warga Bangladesh kerana gagal menghafal suku kata Bahasa Arab.
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada 17 dan 18 September lalu, namun
dia hanya dimasukkan ke sebuah hospital swasta, di sini, pada 28
September.
“Pada 17 September, saya dirotan sebanyak enam kali
kerana kesalahan itu dan keesokannya saya dirotan lagi sebanyak
sembilan kali,” katanya ketika ditemui Harian Metro di hospital,
semalam.
Muhamad Faiz berkata, ustaz berusia 30-an itu merotannya dalam sebuah bilik sambil disaksikan rakan dan dua guru lain.
sumber:harianmetro